Faedah Menabung.

Menabung sudah menjadi satu kelaziman buat semua orang yang mahu merangka pelan jangka masa yang panjang. Boleh jadi ia satu tabung kecemasan kita dimasa susah. Itu kita kena akui.

Menabung merupakan satu amalan proaktif berpaksikan kesedaran seseorang dalam membuat persediaan bagi menjamin masa depan yang cerah. Pada zaman pascaglobalisasi ini, menyimpan wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang efektif untuk memastikan wang tabungan disimpan dengan selamat berbanding dengan menyimpan wang secara konvesional di rumah. Malah terdapat juga tabungan yang dibuat melalui skim pelaburan yang menjanjikan dividen yang tinggi. Amalan menabung ini perlu dijadikan instrumen dalam mendepani kos hidup yang semakin kompleks dan mencabar. Walaupun amalan menabung ini merupakan perkara yang positif, masih ramai golongan remaja yang memandang sepi akan faedah menabung kepada mereka. Pelbagai pihak perlu membuka mata akan faedah menabung kepada seseorang apatah lagi dalam era ledakan maklumat dan bahang industrialisasi kini.

Aktiviti menabung membolehkan seseorang merencana masa depan dengan ekonomi yang kukuh dan mapan. Hal ini kerana menabung merupakan alternatif untuk menambah pendapatan dengan menyimpan wang di bank secara berterusan dan dalam jangka masa panjang. Melalui penyimpanan ini, pendeposit akan memperoleh faedah atau dividen daripada pihak bank mahupun agensi pelaburan. Apabila wang sudah terkumpul, seseorang individu tidak akan berdepan dengan masalah ketirisan wang sehingga boleh menjejaskan keselesaan hidup mereka. Amalan gali lubang tutup lubang dengan meminjam daripada rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Amalan ini bukan sahaja boleh merosakkan institusi kekeluargaan malah boleh merenggangkan persahabatan apabila pinjaman tidak dapat dibayar semula. Sebagai contohnya, seseorang individu boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli hartanah dan membiayai kos pembelian termasuklah urusan jual beli yang pastinya tidak melibatkan wang yang sedikit jumlahnya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, menabung merupakan inisiatif positif yang perlu menjadi budaya hidup seseorang kerana boleh merencana masa depan yang kukuh.

Pada zaman yang serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini memaksa kita mendapatkan pendidikan yang sempurna agar dapat bersaing di pentas global. Hal ini kerana melalui tabiat menabung, kita akan mendapat pelbagai limpahan nikmat terutamanya apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil tabungan boleh digunakan untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti kebergantungan kepada wang bantuan dapat dikesisikan daripada terus menjadi pegangan hidup. Sebagai contohnya, ibu bapa yang ,membuat tabungan melalui insurans pendidikan tidak akan menghadapi masalah apabila anak-anak mereka ditawarkan mengikuti pengajian di universiti. Para remaja juga boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli buku rujukan yang boleh membantu meningkatkan tahap intelektualisme mereka. Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan tentu sahaja memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, amalan menabung sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit akan membantu kita membiayai kos pendidikan yang sempurna bagi menjana kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Putaran kehidupan akan mengubah seseorang daripada kanak-kanak kepada remaja dan akhirnya menjadi dewasa. Semasa menjangkau usia dewasa, komitmen hidup semakin kompleks kerana perlu menyara kerluarga. Hal ini kerana dalam zaman milineum ini, kos kehidupan dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik agar pendapatan bulanan dapat dibelanjakan secara berhemah. Kek pendapatan perlu dibahagikan dengan bijak dan memastikan sebahagiannya disimpan sebagai wang tabungan. Kehidupan berkeluarga amat bernilai dan kemenjadian anak-anak menjadi satu harapan bagi semua insan yang bergelar ibu dan bapa. Sehubungan dengan itu,, anak-anak perlu mendapat pendidikan yang sempurna bagi melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran menguasai kemahiran teknologi. Sebagai contohnya, selain diberikan pendidikan wajib dan formal di sekolah, ibu bapa juga perlu menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan . dan memastikan tanggungjawab menjaga dan menanggung keperluan asas anak-anak seperti pakaian, makanan dan tempat tinggal yang selesa. Oleh itu, amalan menabung perlu subur di dalam jiwa kerana boleh dijadikan sumber untuk menyara keluarga .

Keselesaan dan kesenangan hidup tentunya menjadi impian setiap insan. Sesebuah keluarga memerlukan bukan sahaja rumah yang selesa malah kemudahan yang moden dan efisien. Hal ini kerana kos untuk memiliki semua ini bukanlah sedikit. Selain harga rumah yang melebihi ratusan ribu ringgit, peralatan elektrik, bil elektrik dan air merupakan perkara wajib yang mesti dimiliki dan dibayar dengan segera. Justeru, untuk memiliki kesempurnaan hidup ini, amalan menabung merupakan langkah bijak dan mendatangkan impak yang besar. Kemampuan untuk membeli peralatan rumah secara tunai sebenarnya jauh lebih murah daripada jika dibeli secara ansuran. Segai contohnya, kita boleh menyimpan dalam jangka waktu tertentu untuk memiliki barangan idaman tanpa perlu berhutang. Kebijaksanaan dalam membuat belanjawan kewangan dan membuat tabungan merupakan cara yang paling bijak untuk membeli barangan yang berkualiti sesuai dengan alah beli menang memakai. Bagaimanapun, amalan ukur baju di badan sendiri perlu menjadi keutamaan dalam menggunakan wang tabungan. Oleh itu, amalan menabung menjamin keselesaan dan kesenangan hidup kita.

Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh dijadikan instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh dijadikan cagaran pada waktu kesusahan, kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita berusaha untuk menjauhi sebarang kesusahan namun malang tidak berbau dan langit tidak selalu cerah. Apabila awan mendung menyelubungi kehidupan, wang yang disimpan boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan perubatan atau saat kecemasan. Kealpaan untuk menabung merupakan satu kesilapan yang perlu diteladani daripada pengalaman hidup orang lain. Kita tidak mahu meminta-minta apabila ditimpa musibah. Sebagai contohnya, apabila keupayaan dan kudrat terbatas akibat penyakit atau usia yang semakin bertambah, wang tabungan boleh digunakan. Kita menjadikan wang simpanan sebagai perisai menghadapi risiko dan tidak menjadi seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu, menabung boleh menjadi medium penyelamat bagi kita menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.

Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana amalan menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat cermat dan berpegang kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Anak-anak yang masih kecil perlu dididik untuk menabung boleh mendorong anak-anak menjauhi pembaziran, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesederhanaan dalam kehidupan dapat dibentuk memandangkan fitrah anak-anak yang mudah dibentuk jika diberikan teladan yang baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh membelikan tabung atau membawa anak-anak mengunjungi institusi perbankan agar mereka dapat melihat sendiri akan iklim sihat yang perlu diikuti. Dengan cara ini anak-anak akan terdedah dengan budaya hidup sihat dan mengenali pengurusandunia kewangan dan impaknya kepada ekonomi diri, keluarga dan kepentingannya di peringkat sarwajagat.Kemaslahatan menabung juga perlu diwara-warakan dengan sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih kecil dapat menghayati konsep tabungan dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan menabung boleh menjadi salah satu prakarsa yang pragmatik untuk mendisiplinkan keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang sejahtera

Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu dan mengekalkan keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar papa asal bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu kehidupan yang begitu mencabar. Menabung boleh dijadikan benteng untuk mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang. Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu agar kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan momentumnya.